MHO RAYU JPN TINJAU SEMULA PERMOHONAN MYPR PUAN INTAN
Barisan peguam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meneliti semula penolakan permohonan MyPR milik Puan Intan yang didakwa telah menetap di Malaysia selama hampir 30 tahun.
Menurut peguam MHO, Puan Intan dilahirkan di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 1978 dan mula memegang dokumen MyKas sejak 1996 ketika berusia 18 tahun. Sejak itu, beliau perlu memperbaharui dokumen berkenaan setiap lima tahun, dengan tempoh sah semasanya dijangka berakhir pada 2028.
MHO berkata, permohonan MyPR yang dikemukakan pada 2024 ditolak oleh JPN pada awal 2026 dengan alasan status bapa kandungnya yang merupakan pemegang dokumen IMM13.
Peguam MHO menegaskan setiap permohonan dokumentasi wajar dinilai berdasarkan fakta, rekod kehidupan dan latar belakang pemohon, bukannya semata-mata berpandukan status ibu bapa.
Sepanjang hidupnya, Puan Intan bersekolah di Sabah, berhijrah ke Tawau pada 2005, dan kini telah lebih 16 tahun bekerja sebagai Fireman Watch dalam industri minyak dan gas serta mengikuti pelbagai latihan profesional.
MHO turut memohon agar JPN memberikan penjelasan bertulis mengenai asas undang-undang atau prosedur yang digunakan dalam penolakan permohonan tersebut, selain mempertimbangkan semula rayuan Puan Intan atas dasar kemanusiaan dan penilaian kes demi kes.